Bubur Lambuk Dan Mentaliti Orang Kita
Sebut sahaja bubur lambuk, terlintas dua perkara yang cukup sinonim dengan juadah itu iaitu Kampung Baru dan bulan puasa.
Bubur lambuk Kampung Baru - satu jenama yang menjadi juadah berbuka cukup terkenal di kalangan warga Kuala Lumpur setiap kali menjelangnya Ramadan.
Setiap petang Ramadan, seawal pukul 3 petang, peminat bubur lambuk bukan sahaja dari ibu kota, malah dari seluruh Lembah Klang akan beratur di pekarangan Masjid Jamek Kampung Baru untuk mendapatkan bubur yang diberi secara percuma itu.
Kesempatan itu juga turut digunakan oleh beberapa peniaga menghasilkan ‘klon’ bubur lambuk Kampung Baru yang dijual pada harga RM2 sebungkus.
Keenakan itu jugalah membawa ‘pasukan bubur lambuk Kampung Baru’ menjelajah Malaysia.
Pada 7 Oktober ini pasukannya akan diterbangkan ke Sandakan, Sabah sebelum dijemput pula ke Masjid Al-Jamiul Badawi, Kepala Batas, Pulau Pinang dua hari berikutnya.
Sebelum ini, mereka pernah dibawa ke Perlis, Kedah, Pahang dan juga beberapa institusi pengajian tinggi seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.
Tidak dinafikan keenakan bubur itu, tapi apa yang membuatkan ia cukup istimewa sehingga peminat sanggup beratur panjang untuk mendapatkannya dan ada yang pulang hampa kerana ia habis diagihkan tidak sampai dalam masa setengah jam walaupun sepuluh periuk besar telah dihasilkan!
Pada pandangan saya, yang pertama adalah kerana ia percuma. Benar, saya sendiri memang suka kepada apa yang diberi secara percuma.
Namun, tidak semua orang sanggup bersusah-payah atau bersesak untuk mendapatkan sesuatu yang percuma. Tentu sekali ada rahsia lain di sebalik kemasyhuran bubur ini.
Yang kedua, resipinya. Memang ia menggunakan resipi turun-temurun sejak lebih setengah abad yang lalu.
Rasanya mereka tidak mengurangkan kuantiti bahan mentah untuk menghasilkan bubur yang enak itu walaupun harganya melambung naik.
Bahan utama bubur lambuk ini selain beras, daging mesti cukup dan kami gunakan daging ‘tetel’ iaitu bahagian yang masih ada lemak untuk membuatkan ia lebih berperisa, udang kering, minyak sapi dan rempah ratus.
Setiap periuk boleh dinikmati oleh lebih kurang 450 orang dan ini bermakna setiap hari hampir 5,000 orang menikmati keenakan bubur lambuk Kampung Baru. Jumlah itu meningkat sekiranya tajaan yang diterima lebih pada hari tertentu.
Apa pun rahsia keenakannya, bagi saya anak jati Kampung Kuala Sala, Kedah yang sudah biasa dengan bubur lambuk masjid kampung itu tetap mengatakan ia jauh lebih enak daripada bubur lambuk Kampung Baru (saya yakin semua orang juga begitu).
Ia sebenarnya hanya sekadar mentaliti orang kita yang terlalu sentimental dan obses dengan sesuatu yang sudah terkenal. Bagi masyarakat kita, sesuatu yang terkenal itulah yang paling hebat dan tiada tandingan.
Sehinggakan kita sukar untuk menerima yang baru walaupun ia setanding malah kadangkala jauh lebih hebat daripada yang sedia ada.
Menurut seorang pensyarah psikologi, keadaan ini sebenarnya adalah sifat semula jadi semua orang.
Semua orang dilahirkan dengan sifat ingin mencuba apalagi jika ia selalu menjadi sebutan, jelas beliau.
Katanya, kita mempunyai satu sifat terikut-ikut untuk mencuba dan melihat pada sesuatu yang dianggap hebat ataupun pelik.
Apabila orang ramai asyik berkata-kata dan sering memuji tentang sesuatu, secara semulajadinya kita juga akan mengiyakan kenyataan itu. Kita mempunyai sifat pre-determine iaitu menentukan sesuatu itu lebih awal berdasarkan apa yang dikata oleh orang ramai.
Lihatlah betapa jauh orang kita sanggup merantau untuk merasa mi udang Sungai Dua, laksa Kuala Perlis dan keropok Losong (sekadar menyebut beberapa nama) sedangkan juadah yang sama enaknya boleh didapati di mana-mana.
Bukan sahaja dari segi makanan, malah pakaian, ubat-ubatan, sesuatu yang dianggap pelik, misalnya upih pinang berwajah manusia sehingga kepada bintang popular seperti penyanyi dan pelakon juga kita tetap menganggap yang telah masyhur itulah terhebat.
Jika tidak, masakan tukang jahit baju Melayu Jalan Masjid India berhenti mengambil tempahan baju raya sebelum masuknya bulan puasa.
Sama juga keadaannya dengan seniman agung Tan Sri P.Ramlee yang kita anggap tiada ganti dan Datin Siti Nurhaliza -penyanyi wanita negara yang tiada tandingan dekad ini.
Begitulah hebatnya kuasa psikologi mempengaruhi kehidupan kita!
Peace.. hehe